Mimi Rozaiana binti Zainal Abidin (lahir 21 November 1995) atau lebih dikenali sebagai Mimi Lana (Jawi: ميمي لان) merupakan seorang pelakon dan model wanita Malaysia. Kerjayanya bermula selepas menjadi salah seorang peserta Dewi Remaja 2014/2015. Sejak itu, beliau telah membintangi beberapa drama tempatan termasuk Ku Tinggalkan Cinta Di Okinawa (2015), Sein Dan Luna (2016), dan Halalkan Hati Yang Ku Curi (2018).
Mewarisi bidang lakonan dari neneknya yang merupakan pelakon pentas semasa era P. Ramlee, Mimi Lana memulakan kerjaya pemodelan sebagai salah seorang peserta Dewi Remaja 2014/2015 bersama-sama Raysha Rizrose, Mawar Rashid, Syamim Farid, Natrah Khalid, Fify Azmi dan Puteri Aishah dan kemudiannya melibatkan diri dalam bidang lakonan. Beliau mula dikenali selepas berlakon dalam drama Sein Dan Luna sebagai watak utama bersama Syazuwan Hassan.
Mimi bersama pelakon Natasha Elyzza dan Fivi Mae ditahan selepas kediaman mereka di Subang Jaya, Selangor, diserbu oleh pihak polis pada 18 September 2015. Dalam serbuan itu, polis menemui satu beg mengandungi tiga paket plastik lutsinar yang mengandungi ganja seberat 15.74 gram dan bilah pisau atas almari baju dalam bilik kedua kediaman mereka. Akibatnya, beliau dipenjarakan selama 11 hari. Mimi dibebaskan pada 29 September selepas siasatan mendapati dadah itu bukan milik beliau.
Beliau berkongsi mengenai ketinggiannya dalam temuramah bersama Star2: "Semua orang dalam keluarga saya tinggi. Bapa saya dan adik saya lebih tinggi daripada 6 kaki (1.8m). Adik saya, juga tinggi seperti saya." Menurut laporan Star2, Mimi kelihatan lebih tinggi dari kebanyakan wanita Malaysia.
Pada Jun 2020, Mimi mendedahkan bahawa hubungan cintanya dengan pelakon Syafiq Kyle telah berakhir selepas lima tahun menjalin hubungan.