

Nadia
Introduction
Zarina Mohd Ali atau lebih dikenali dengan mononim Nadia (lahir 4 September 1972) ialah seorang penyanyi wanita Malaysia. Antara lagu-lagu terkenal beliau ialah "Salam Untuk Kekasih" yang menguasai carta muzik tempatan. Pada tahun 2014, beliau menjadi salah seorang peserta Gegar Vaganza musim pertama.
Kerjaya
Nadia mula menunjukkan minat terhadap nyanyian sejak di bangku sekolah. Pada tahun 1996, album pertamanya yang menggunakan namanya sebagai tajuk album diterbitkan oleh Sky Music. "Salam Buat Kekasih" dikeluarkan sebagai single pertama dan ia menjadi kejayaan komersial sekaligus melonjakkan nama beliau dalam bidang muzik. Setahun kemudian, beliau dicalonkan bagi kategori Artis Baru Wanita Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-4, namun dimenangi oleh Siti Nurhaliza (kini Dato' Seri) yang ketika itu sedang meniti puncak populariti. Nadia kemudian merakamkan dua lagi album, Nadia 2 (1997) dan Unggul (1999). Selepas perkahwinannya, beliau menamatkan kerjaya sebagai penyanyi. Selepas 13 tahun menyepi, Nadia membuat kemunculan semula dengan merakamkan dua lagu baharu—"Buatmu Kekasih" dan "Hanya Untukmu".
Gegar Vaganza 2014
- Lihat juga: Gegar Vaganza (musim 1)
Nadia ialah salah seorang daripada 12 peserta Gegar Vaganza pertama yang turut disertai oleh Shima, Adilla Idris, Ayai Illusi dan Mamat Exists, namun tersingkir di konsert minggu keempat. Berikut ialah senarai persembahan beliau:
| Persembahan dan keputusan Gegar Vaganza 2014 | ||||
|---|---|---|---|---|
| Konsert | Tema | Lagu | Penyanyi asal | Keputusan |
| Minggu 1 | Throwback | "Salam Buat Kekasih" | Dirinya sendiri | Ke-6 |
| Minggu 2 | Memori Berkasih | "Takkan Terpisah" | Black Hanifah | Pertama |
| Minggu 3 | Kenangan Mengusik Jiwa | "Tinggal Kenangan" | Saleem | Ke-11 |
| Minggu 4 | Ada Berani? | "Pawana" | Search | Tersingkir |
Kehidupan peribadi
Nadia dibesarkan di Tawau, Sabah. Beliau ialah ibu tunggal kepada dua anak, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan selepas bercerai dengan bekas suaminya. Selain itu, Nadia juga mengusahakan syarikat motel milik keluarganya, Timah's Motel yang beroperasi di Sipitang. Motel ini terletak di sempadan antara Brunei dan Sarawak.
Diskografi
Album
- Nadia (1996)
- Nadia 2 (1997)
- Unggul (1999)
Single
- "Salam Untuk Kekasih" (1996)
- "Buatmu Kekasih" (2011)
- "Hanya Untukmu" (2012)
Anugerah dan pencalonan
| Tahun | Anugerah | Kategori | Penerima/Karya tercalon | Keputusan |
|---|---|---|---|---|
| 1997 | Anugerah Industri Muzik ke-4 | Artis Baru Wanita Terbaik | Dirinya sendiri | Tercalon |
Rujukan
Pautan luar
- Nadia di Discogs